Skip to main content

Ø  Senarai nama sasterawan negara Malaysia dan latar belakang kepengarangannya.

1) (Dr.) Kamaludin Muhammad atau Keris Mas
Kamaluddin Muhamad ialah seorang Sasterawan Negara Malaysia 1981. Beliau lebih dikenali sebagai Keris Mas. Beliau seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik. Keris Mas dalam berkarya telah menghasilkan 60 buah cerpen dengan cerpen pertamanya berjudul Wasiat Orang Bangsawan, tersiar di majalah Suluh Malaya (1 Jun 1946). Semua cerpen-cerpennya terkumpul dalam antologi cerpen: Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968). Antologi cerpen Patah Tumbuh juga pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM.
Antara novel penghasilan Keris Mas ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1983) dan Rimba Harapan (1985). Novel Rimba Harapan telah diterjemahkan oleh Adibah Amin kepada 'Jungle of Hope' dan diangkat sebagai teks kajian komponen sastera, Bahasa Inggeris SPM. Beliau banyak menghasilkan karya kreatif lama sebelum ASAS 50 ditubuhkan. Novel pertamanya, Pahlawan Rimba Malaya (1976) lebih pendek daripada manuskrip asalnya kerana penerbit berhadapan kekurangan kertas.
Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesuciannya dan Anak Titiwangsa merupakan tiga buah novel yang sederhana. Pahlawan Rimba Malaya ditulisnya selepas pendudukan Jepun sementara Korban Kesuciannya (1949) ditulisnya semasa bekerja di Utusan Melayu. Anak Titiwangsa (1967) pula dihasilkan semasa di DBP. Selaku Pegawai Penerangan PKMM, beliau menulis sebuah cerpen perjuangan bertajuk “Darah dan Air Mata” (majalah Kenchana ; 15 Oktober 1947). Antara 1950–1960-an, beliau cukup aktif menghasilkan cerpen bermutu berkisar tentang masyarakat Melayu tempatan dan berunsur didaktik (bertujuan mengajar).

2) Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
Profesor Emeritus Dato' Dr. Haji Shahnon bin Ahmad (13 Januari 1933 - 26 Disember 2017) adalah seorang penulis Malaysia yang mendapat gelaran Sasterawan Negara pada 1982 serta merupakan bekas Ahli Parlimen. Beliau juga merupakan seorang Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau banyak membaca karya novelis Indonesia Pramoedya Ananta Toer dan Patrick White. Sejak 1956 beliau mula menulis dan sentuhannya tentang masyarakat cukup dirasakan dan mulanya berbentuk sinis dan seks. Karya awalnya berupa terjemahan tersiar dalam majalah Mastika dan menghasilkan cerpen, novel, esei serta kritikan. Namun beliau canggung menghasilkan puisi dan drama. Beliau menyingkap penderitaan manusia desa dan kehidupan di bandar-bandar.
Novel pertamanya 'Rentong' (1965) menaikkan namanya. Novel keduanya berjudul Terdedah . Novel ketiga 'Ranjau Sepanjang Jalan' dijadikan teks sastera tingkatan enam dan diangkat menjadi sebuah filem (1983) oleh penerbit / pengarah filem, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin. Dua novel ini merupakan kemuncak kerjaya novelis ini.Ranjau Sepanjang Jalan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn. Panel The Sydney Morning Herald (1973) mengangkat novel ini satu daripada 10 novel menarik tahun 1972. Ranjau Sepanjang Jalan (1966) yang telah diadaptasi semula ke filem yang dipanggil Rice People arahan pengarah filem Kemboja, Rithy Panh, Rentong (1965), Srengenge (1973) yang telah memenangi anugerah Novel Tahunan Malaysia pada tahun 1970, serta Terdedah (1965).
Melalui novel Rentong , beliau cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Kisah perjuangan petani miskin di kampungnya Banggul Derdap melalui watak Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma.Orang kampung dengan segala kesederhanaan mereka untuk mencari rezeki yang halal, di samping menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah. Novel Protes berkisar tentang ketuhanan. novel Menteri dan Perdana berkisar tentang soal politik orang Melayu. Gaya bahasa dan teknik penulisan yang bersahaja. loghat Kedah, perulangan ayat dan teknik perbandingan dapat meninggalkan kesan.
Novel Serengenge (1973) diangkat sebagai novel terbaik oleh Panel Hadiah Karya Sastera 1973. Novel ini memaparkan sintesis antara kepercayaan tradisi dengan ilmu psikologi moden. Tahun 1985, beliau menghasilkan novel Al-Shiqaq I. Cerpennya memenangi Hadiah Karya Sastera. Antaranya antologi cerpen Anjing-anjing, Debu Mereh, dan Selesai Sudah. Beberapa cerpennya diterbitkan bersama penulis lain. Cerpen beliau yang tersiar dalam Berita Harian dan Mastika mendapat hadiah RM100.00 (1960-an). Tahun 1974, Shahnon memenangi Hadiah Karya Sastera dalam bidang esei dan kritikan pula.

3) Datuk (Dr.) Usman Awang
Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) ialah seorang Sasterawan Negara Malaysia. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau ialah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan barangkali lain-lain lagi. Dalam tahun 1991, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.
Dalam bidang penulisan beliau lebih terkenal dengan lebih 200 puisi dan drama. Antara judul sajak yang sinonim dengan Usman Awang ialah Bunga Popi, Gadis Kecil, Ke Makam Bonda, Kekasih, Kurang Ajar, Pak Utih, Suara Dari Pusara. Dramanya yang terkenal ialah Matinya Seorang Pahlawan, Tamu Bukit Kenny, Serunai Malam, Malam Kemerdekaan. Drama muzikalnya ialah "Uda dan Dara". Hanya ada satu novel karya Usman Awang iaitu "Tulang-Tulang Berserakan" (terjemahan ke dalam bahasa Rusia oleh Alla Rozhanskaya dengan judul "Tam Gde Ikh Nastigka Pulya" - Di sana mereka kena peluru - Moscow, 1984)
Dato' Dr. Usman Awang juga pernah menggunakan nama pena Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., dan Zaini. Pada tahun 1983, beliau dianugerahkan gelaran "Sasterawan Negara", SEA Write Award 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya 1983 serta Zamalah Sastera 1985. Pada tahun 1991 dianugerahi Darjah Kebesaran Dato' Paduka oleh Baginda Sultan Perak yang membawa gelaran Dato'.

4) Datuk (Dr.) A. Samad Said
Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said (lahir 9 April 1935) ialah Sasterawan Negara Malaysia 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara 1979.Kini beliau menetap di Bangsar, Kuala Lumpur. A.Samad Said menggunakan pelbagai nama pena seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir. Puisinya yang pertama diberinya judul “Untuk Angkatan 50” yang tersiar dalam Utusan Zaman (1950). Samad menjadi ahli ASAS 50, badan penulis yang bergerak dengan slogan, “Seni untuk Masyarakat “.Beliau berjaya menghubungkan sasterawan-sasterawan 50-an yang mementingkan tema dan mesej dengan sasterawan yang lebih cenderung menekankan nilai dalam kesusasteraan.Beliau membesar di Singapura. Oleh itu, dia tidak pernah secara aktif terlibat dalam perjuangan politik atau ideologi yang menentang penjajah.
Novel pertama berjudul Gerhana ditukar judul kepada Salina. Profesor A. Teeuw dan sesetengah sarjana mengangkat novel ini sebagai bertaraf antarabangsa. Namun novel ini hanya memenangi hadiah penghargaan dalam Peraduan Penulisan Novel 1958 anjuran DBP .Ketika itu Samad berusia 23 tahun. Salina menceritakan kehidupan daif masyarakat Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Penduduk bergelut dengan kemiskinan, keruntuhan moral di kota dan kebobrokan.Tema sebegini sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu. Novel Salina telah diadaptasi menjadi teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian (1986), dan kemudiannya di Singapura.
Novelnya Sungai Mengalir Lesu menggambarkan masyarakat Singapura yang menderita akibat perang. Masyarakat Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura ketika diperintah tentera Jepun (1942-1946). Antologi puisi 'Liar di Api' jelas bereksperimen dengan sajak-sajak bebas. Antologi lain ialah Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih Semalu (1984). Samad menulis latar belakang pengalamannya semasa menulis Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang dalam Dari Salina ke Langit Petang. Buku bercorak autobiografi ini merupakan rakaman pengalaman Samad, pahit maung dan peristiwa berkaitan yang diterapkan dalam novel-novelnya.

5)  (Dr.) Muhammad Dahlan Abdul Biang atau Arena Wati
Muhammad bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau lebih dikenali sebagai Arena Wati (30 Julai 1925 – 25 Januari 2009) ialah Sasterawan Negara Malaysia tahun 1988. Nama pena lainnya ialah Duta Muda dan Patria. Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia. Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953.
Selepas tamat persekolahan, Arena bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Bahru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imaginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa.
Karya-karya lainnya ialah Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991), Citra (1991),Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991), Ombak Samudera (1992), Meniti Kala by Arena Wati (1993), Panrita (1993), Sudara (1994), Mevrouw Toga (1995), Begawan (1996), Jejak Kreatif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1996), Koleksi Terpilih Arena Wati (1996), Sukma Angin (1999), Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000), Trilogi Busa (2002), Armageddon (2004), Kutukan Dari Langit (2004), Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal, 1954-1959 (2004), 7 Tegak Bersama (2005), Warna Sukma Usia Muda (2005) dan yang terakhir Cakra Waruga (2006).
Kebanyakan karya beliau mempunyai tema permasalahan kelompok bawahan dan berkisar mengenai nasib atau pembelaan terhadap golongan tertindas yang digarap daripada pengalaman merantau dari pulau ke pulau di Nusantara. Novel Sandera menjadi teks kajian Sastera SPM sekitar tahun 1980-an. Trilogi Bara-Baraya yang disiapkan ketika dirawat di HUKM berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara. Rakannya, A. Samad Said menyifatkan Arena Wati sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera.

Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh merupakan salah seorang penulis Malaysia yang telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara 1991. Beliau juga telah memenangi Anugerah Penulis S.E.A. pada tahun 1997. Pada 2008, beliau dinobat sebagai Tokoh Akademik Negarta. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1978-1982) dan banyak menterjemah puisi berbahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Beliau juga menjadi sidang editor jurnal Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara.
Kerjayanya bermula sebagai seorang guru di Trade School Butterworth pada tahun 1960 dan kemudiannya meneruskan perkhidmatan perguruannya di beberapa buah sekolah hinggalah menjadi tutor, pensyarah, pensyarah kanan dan seterusnya menjawat beberapa jawatan akademik di universiti tempatan dan antarabangsa. Beliau juga pernah mencatat sejarah sebagai profesor termuda yang pernah dilantik ke jawatan itu pada tahun 1979 ketika berusia 37 tahun. Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Selama 42 tahun, beliau pernah bertugas di USM,UKM dan UM. Beliau pernah dijemput mengajar di Amerika Syarikat, Brunei, Jerman dan Belanda sebagai profesor pelawat dan menerima ‘fellowship’ dari beberapa buah universiti di Amerika Syarikat, Jepun serta Belanda.
Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Tamu di bawah rancangan Fulbright-Hays (1977) dan mengajar di North Carolina State University, Raleigh, Amerika Syarikat (1977 - 1978) ; pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu ; Timbalan Dekan Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM ; Pengarah Institut Bahasa, Kebudayaan Kesusasteraan Melayu. Kemudian menjadi Profesor Kesusasteraan sewaktu berusia 36 tahun (1978). Muhammad menjadi “Asian Scholar in Residence” di University Michigan. Dalam tahun 1992-1993, beliau dipilih menjadi Fullbright Visiting Reseacher, di University of California, Berkeley ; menyandang Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Netherlands (1993-1994).
Pada bulan Jun 1996, beliau mengambil bahagian dalam seminar Persatuan Nusantara (Moscow) "Pembinaan Negara dan Proses Perkembangan Sastera/Budaya di Asia Tenggara", di mana membentangkan kertas kerja "Khalayak di Serambi Pentas". Kesan daripada lawatan ke Moscow, termasuk pertunjukan "The Queen of Spades" arahan Peter Fomenko, di teater E. Vakhtangov, dicerminkan dalam beberapa puisinya.

Noordin Hassan merupakan seorang Sasterawan Negara yang dilahirkan pada 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang. Noordin Hassan memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Setelah itu beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Francis Light, Pulau Pinang. Setelah kekalahan Jepun, beliau melanjutkan pelajaran di Penang Free School. Pada tahun 1952, Noordin Hassan dihantar ke Kirkby College, Liverpool untuk persiapan menjadi guru terlatih. Semasa di Kirkby, beliau mendalami Kesusasteraan Inggeris dan Barat, terutamanya melalui karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith dan Moliere. Pada tahun 1962, beliau melanjutkan pengajian di Universiti London dalam bidang Pengajaran Bahasa dan Sastera Inggeris. Pada akhir tahun 1976, beliau mengikuti kursus Drama dan Pembelajaran di Universiti of Newcastle.
Penglibatan Noordin Hassan dalam bidang kesusasteraan tertumpu dalam bidang drama dan teater. Sepanjang penglibatannya dalam dunia drama mulai 1953, beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buat drama dan kareografi tarian. Noordin Hassan terkenal dengan gelaran ‘Datuk Drama dan Cikgu Drama’. Antara pembaharuan yang dilakukan oleh Noordin Hassan ini adalah seperti mengetengahkan konsep teater fitrah serta sering bereksperimen dengan bentuk drama baru berlandaskan tradisi budaya Melayu.
Antara karya Noordin Hassan yang ternama ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Peran, 1400, Jangan Bunuh Rama-rama, Cindai, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Demi Zaiton dan Sarah. Teater-teater Noordin Hassan ini banyak dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Noordin Hassan mempunyai beberapa kumpulan drama yang dibukukan seperti buku Kumpulan Drama Bukan Lalang Ditiup Angin 1972 yang memuatkan dramanya Tiang Seri Tegak Berlima dan Pintu. Sebuah lagi kumpulan dramanya dinamakan Anak Tanjung : Children of This Land (1999). Drama-drama beliau telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

8) Datuk Abdullah Hussain
Datuk Abdullah Hussain (25 Mac 1920 – 31 Disember 2014) ialah seorang penulis novel dan penulis. Beliau menerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996 yang menjadikan beliau Sasterawan Negara kelapan. Beliau dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman, Malaysia. Abdullah terkenal memiliki banyak pengalaman dan menguasai beberapa bahasa asing.
Pelbagai kerja yang dilakukan beliau demi meneruskan hidup. Kebanyakan kerjayanya berkait dengan penulisan, percetakan dan penulisan. Beliau pernah menjadi Penolong Penjaga Stor lombong bijih di Pahang (1939); Bahagian Penerbitan, syarikat suratkhabar Sahabat, Pulau Pinang (1939); Pembantu pengarang surat khabar Saudara (1940); Kerani dan tukang dobi di Kem Tentera Sungai Petani, Kedah sehingga kedatangan tentera Jepun; Wartawan surat khabar Merdeka, Berita Indonesia dan Majalah Merdeka, Singapura (1951); Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem dan akhbar Semenanjung
Seterusnya, beliau bekerja sebagai pembantu pengarang di Franklin Book Programme dan Oxford University Press (1965 – 1968); Editor majalah Angkatan Baru (1965 – 1968); Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (1968 – 1978); Ketua Unit Bahasa dan Sastera, DBP cawangan Sabah (1978 – 1979); Ahli Cipta Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (1979 – 1981); Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera DBP Brunei (1982) dan Pegawai Bahasa Kanan DBP Brunei. Akhirnya, beliau menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka.
Karya pertama beliau terbit pada 1939, sebelum pendudukan Jepun iaitu cerita lucu yang disiarkan dalam majalah Tanah Melayu. Pelbagai genre dihasilkan seperti cerpen, novel, biografi/autobiografi, terjemahan dan esei sastera. Lebih 25 buah novel, tiga buah kumpulan cerpen, sembilan buah terjemahan, sebuah autobiografi dan enam buah biografi telah dihasilkan. Nama pena beliau ialah Zamroed, Roslani Shikin, A.A, Adiwijaya, A.H, Andijaya, Asly, Bintang Kecil, Iskandar Muda dan Suryakanta.
Beliau telah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok (1981) (pemenang pertama hadiah Sayembara Novel Nasional – mengenang Pak Sako); Hadiah Pertama Novel Nasional anjuran Syarikat Utusan Malaysia dan Public Bank pada tahun 1992/94 menerusi novel Imam; Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat Kebudayaan Aceh pada tahun 1995; Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996; Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) (1996) yang membawa gelaran Dato'.

9) Prof. Madya Dr. Syed Othman Syed Omar atau S. Othman Kelantan
Syed Othman bin Syed Omar al-Yahya (31 Disember 1938 - 31 Julai 2008) atau lebih dikenali sebagai S Othman Kelantan merupakan salah seorang sasterawan negara Malaysia. S. Othman Kelantan telah dilahirkan pada 13 November 1939 di Kelantan Darul Naim. Beliau mula menulis sejak tahun 1953. Dalam dunia penulisan kreatif, beliau lebih dikenali dengan nama S. Othman Kelantan. Sehingga Disember 2000, Dr. Syed Othman telah menghasilkan sebanyak 175 buah cerpen. Antara novel beliau yang terkenal ialah: Angin Timur Laut (1969); Juara (1976); Wajah Seorang Wanita (1990); dan Nagogho Astana (1997).
Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia dan Cina. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 sebelum memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1995. Dr. Syed Othman pernah menjadi: guru (1952-1979); tutor Bahasa Melayu USM (1980-1983); pensyarah di UKM (1983-1996).
Dengan jawatan akhirnya sebagai Profesor Madya dan Karyawan/Pensyarah Tamu di Universiti Malaya (1997-1999). Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan. Kini beliau merupakan pensyarah di Institut Pujangga (Francais UUM) di Seri Kembangan, Selangor. Hasil daripada penglibatan dan sumbangan beliau dalam bidang penulisan kreatif, Dr. Syed Othman telah dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1990.

10) Dato' Dr. Anwar Ridhwan
Dato' Dr. Mohd Anwar Ridhwan (5 Ogos 1949) merupakan Sasterawan Negara Malaysia ke-10 dan juga merupakan seorang penulis novel Malaysia. Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1949 dalam keluarga petani yang berasal dari Perak yang kemudiannya menetap di Sungai Besar, Selangor. Pada 11 Ogos 2009, beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia ke-10 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat beliau yang terletak di Putrajaya.
Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973) dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D pada tahun 1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.
Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) (edisi bahasa Rusia oleh Victor Pogadaev, 1996) dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Dr. Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia. Dua cerpen Anwar Ridhwan ("Sesudah Perang" dan "Sasaran") turut diterjemahkan oleh Dr. Victor Pogadaev juga ke dalam bahasa Rusia.

11) Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala
Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (lahir 30 Januari 1941 di Gombak, Kuala Lumpur) (nama pena Kemala) adalah seorang penyair terkenal dan Sasterawan Negara (2011) Malaysia. Persoalan yang sering diungkapkan dalam puisi-puisi beliau ialah tentang rakyat bawahan seperti petani, nelayan dan kaum buruh. Pada tahun 1970-an kisah yang sering dikemukakan Kemala ialah tentang renungan terhadap kehidupan yang condong kepada aspek-aspek kerohanian. Kumpulan puisi Meditasi telah terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1972, di samping sebuah puisi beliau yang lain berjudul Laut. Puisi Kemala berjudul Maknawi Itu, Kasihku telah terpilih pula memenangi Hadiah Karya Sastera 1975. Kemudian sekali lagi dua buah puisi beliau terpilih pada tahun 1976, masing-masing berjudul “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” dan “Bahawa Cinta itu Kasihku”. Tiga buah puisinya daripada kumpulan ‘Ayn iaitu “Lelabah, Laut”, dan “Cakerawala”, sebuah cerpen “Peti” dan esei Persoalan Penyair dan Kepenyairannya, telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83. Puisi Kemala turut tersiar dalam penerbitan antarabangsa seperti Horison (Indonesia), Hemisphere (Australia), Asiaweek (Hong Kong), dan Journal Pacific (New Zealand).
Sajak-sajak Kemala penuh dengan musik dan irama mendalam. Dia dengan mahir menggunakan segala kebolehan bahasa Melayu dengan mengorak dari bahasa itu kadang-kadang bunyi lembut, kadang-kadang bunyi ekspresif dan meletup. Dia memenuhi setiap barisan puisinya dengan gerakan dan menjadikan setiap sajak sebagai organisma hidupan. Perpaduan perasaan dan cita-cita tinggi yang diresapi dengan cinta yang tak terhingga kepada Tuhan inilah merupakan punca yang tak henti-hentinya daripada ilham kreatif Kemala. Puisinya ialah peleburan bayangan bersuara dan muzik, avangardisme dan motif-motif sufi tradisional serta juga bentuk irama puisi rakyat.
Dalam bidang drama pula, di samping telah berjaya menerbitkan buku drama berjudul Di Bumi Lain, drama Kemala Malam Perhitungan telah merebut hadiah terbaik dalam satu peraduan yang dianjurkan oleh Majlis Drama Malaysia pada tahun 1971. Drama yang terbaru ialah Pending Numera (2011). Buku oleh Anna Pogadaeva tentang Intertekstualiti Puisi Kemala Setakat ini Kemala sudah menerbitkan 9 kumpulan puisi, iaitu Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktus-Kaktus (1976)[4]., ‘Ayn (1983, 1989)[5], Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), Mim (1999)[6] dan Ziarah Tanah Kudup (2006).

12) Datuk Baha Zain
Dato' Baharuddin Zainal (atau Baha Zain; dilahirkan pada 22 Mei 1939 di Hutan Melintang, Perak, Malaysia) merupakan penulis, tokoh penyair dan intelektual terkenal . Beliau telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara ke-12 pada 2013. Pengumuman anugerah tertinggi dalam bidang kesusasteraan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Karya-karya puisi telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa Inggeris, Korea, Jerman, Russia, Mandarin dan bahasa Sepanyol.
Kerjaya beliau bermula sebagai Penolong Pegawai Penyelidik (Julai 1963) di Dewan Bahasa dan Pustaka ; Timbalan Ketua Pengarah (sehingga 1985); Ketua Editor Dewan Sastera, dan Dewan Budaya dan Dewan Bahasa. Kemudian menjadi kolumnis majalah bulanan Dewan Sastera (2005- kini ) dan sidang pengarang jurnal Tenggara . Mulai tahun 1982, Baha Zain dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP. Pada tahun 1984 beliau meletakkan jawatan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Pada tahun 1985, beliau menerbitkan majalah berita mingguan Era yang menyamai konsep majalah Time tetapi tidak bertahan lama.
Baha Zain kemudian menjadi Pengerusi Eksekutif Dasar Padu (M) Sdn. Bhd dan syarikat penerbitan Pustaka Cipta (1985). Beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu mulai 1986 ; Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara, anggota Majlis Perkembangan Buku Kebangsaan ; Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1985-1991); Presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (1989-1994).
Beliau pernah menjadi pengarah teater "Tamu Di Bukit Kenny" karya Sasterawan Negara Usman Awang yang dipentaskan pada 26 Julai 1967 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka.Pelakon utamanya ialah tokoh penulis terkenal, Datuk Mohamad Noor Azam. Antara rakan setugas beliau di kemuncak DBP ketika itu ialah Datuk Hassan Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, Abdullah Hussain, Noor Azam, Kemala, Wijayamala, Othman Haji Zainuddin, Shamsuddin Jaaffar, Suhaimi Haji Muhammad, Jaafa HS, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Johan Jaafar, Zakaria Ariffin, Ainon Haji Muhammad, Dinsman, A. Rahim Abdullah.

13) Datuk Dr. Zurinah Hassan
Datuk Dr. Zurinah Hassan (13 Jun 1949 - ) merupakan salah seorang penyair dan tokoh Sasterawan Negara dari Malaysia. Beliau dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah, dan telah menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel. Zurinah Hassan pada mulanya mengarang puisi secara sambilan, sebelum memutuskan untuk meletak jawatan bagi memenuhi keinginan berkarya sepenuh masa yang selama ini terganggu akibat beban kerja.
Zurinah Hassan berkarya dan menghayati keindahan alam dalam bentuk tulisan sejak berusia 12 tahun lagi. Zurinah turut cuba mengetengahkan persoalan sejagat dalam tulisannya termasuk puisi mengenai gejala melepak di kalangan remaja pada tahun 1990-an. Zurinah turut menghasilkan sebuah buku Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi, penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia. Zurinah Hassan dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 pada 2014. Anugerah ini membawa gelaran Datuk.
Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Pemilihan Zurinah itu dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu. Zurinah Hassan mendapat pendidikan formal awal di Sekolah Rendah Melayu Tikam Batu dan Sekolah Inggeris Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah. Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Convent Sungai Petani dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar Kedah.
Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Pengajiannya dilanjutkan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 2001. Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan memperolehinya pada tahun 2008.

Comments

Popular posts from this blog

Ø   Senarai nama majalah yang mengadakan kolum cerpen dan sajak. MAJALAH-MAJALAH TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA Dewan Sastera Bahagian Majalah, Tingkat 20 Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa 50460 Kuala Lumpur. 03 2148 2260 (3 buah cerpen (sebuah terjemahan), Sebuah drama/teater bersiri, 12 buah puisi dan Sebuah puisi tradisional) Editor Muhammad Fadhli Al-Akiti fadhli@dbp.gov.my 03-2147 9261 Pen. Editor Nurzuzilawati Sulaiman norzuzilawati@dbp.gov.my 03-2147 9271 Tunas Cipta  (4-5 buah cerpen, Sebuah drama pentas dan sebuah novel bersiri, 10-15 puisi dan sebuah puisi tradisional) Timbalan Editor Siti Noorisa Abdul Khlil sitinoorisa@dbp.gov.my 03-2147 9273 Pelita Bahasa  (Sebuah cerpen, 2 buah puisi dan sebuah puisi tradisional) Editor Khairul Anum Mohd Ali khairul@dbp.gov.my Dewan Budaya  (Sebuah cerpen dan Sebuah puisi) Editor Armin Azhari bin Saleh armin@dbp.gov.my Penolong Editor Muhamad Rafiq bin Abdul Rahman rafiq@dbp.gov.my 03-2147...
MELANCONG KE OMAN Pada tahun 2017 yang lalu, saya dan keluarga telah melancong ke negara Oman. Tujuan kami pergi ke Oman adalah untuk melawat keluarga ibu saudaraku yang telah lama menetap di sana sekaligus menimba pengalaman baru melawat negara Arab. Oman, negara yang jarang sekali disebut-sebut oleh orang ramai. Ada juga di kalangan mereka yang tidak pernah langsung mendengar tentang kewujudan negara tersebut. Aku rasa kerana negara tersebut tidaklah seperti negara-negara arab yang lain yang serba mewah, terkenal dengan kekayaan mereka. Negara Oman mempunyai keunikannya tersendiri. Ia belum lagi terpengaruh dengan unsur-unsur dan budaya dari luar. Nilai mata wang Oman ialah 1 Rial Oman bersamaan RM11 nilai mata wang Malaysia. Sungguh jauh sekali perbezaannya. Sememangnya jika ingin melawat negara ini memerlukan wang yang mencukupi kerana barangan yang dijual juga agak mahal harganya. Kami memilih penerbangan Qatar Airways untuk sampai ke sana. Penerbangan mengambil masa se...